fb fb fb fb fb

Lorong Keriang tarikan baharu OOTD hasil sentuhan kreativiti pelajar

Lorong Keriang di Kampung Alor Melong, Alor Setar yang dahulunya dipenuhi sampah sarap, kini berubah wajah menjadi tarikan terbaharu bergambar (OOTD) / Foto ihsan MBAS

ALOR SETAR, 22 Julai – Lorong Keriang di Kampung Alor Melong, yang dahulunya dipenuhi sampah sarap, kini berubah wajah menjadi tarikan terbaharu bergambar (OOTD) di bandar raya itu apabila dihiasi lukisan mural sepanjang 150 meter hasil kreativiti pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Usaha menceriakan lorong berkenaan adalah sebahagian daripada Projek Eco Youth yang digerakkan oleh Kolej Sultan Abdul Hamid, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar serta membudayakan gaya hidup hijau dalam kalangan generasi muda.

Lebih 22 sekolah serta institusi pendidikan termasuk Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengambil bahagian dalam projek tersebut, yang turut mendapat tajaan penuh daripada syarikat pengeluar cat terkemuka, Nippon Paint.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyokong penuh inisiatif tersebut kerana ia memberi fokus kepada pendidikan alam sekitar dalam kalangan generasi pewaris negara.

2207 KDH LUKISAN MURAL 2Lebih 22 sekolah serta institusi pendidikan termasuk Albukhary International University (AIU) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengambil bahagian dalam projek tersebut / Foto ihsan MBAS

“Pemerkasaan belia dalam isu kelestarian, perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar perlu bermula dari akar umbi. Projek Eco Youth ini adalah platform tepat untuk mendidik dan membentuk sahsiah generasi muda yang bertanggungjawab terhadap alam mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek mural Eco Youth di Lorong Keriang, di sini.

Tambah beliau, MBAS akan terus menyediakan sokongan teknikal, logistik serta kemudahan dan sumber rujukan kepada mana-mana sekolah, institusi atau pertubuhan yang ingin melaksanakan projek berorientasikan kelestarian alam sekitar.

Lorong Keriang kini dijangka menjadi antara destinasi tumpuan baharu sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan kempen “Mai Singgah Alor Setar Lagi”.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN