fb fb fb fb fb

Lori logistik disediakan pastikan calon SPM hadir peperiksaan selamat

Foto RTM

KUBANG PASU, 26 November -Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menyediakan sebuah lori tiga tan untuk membawa dan memindahkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan yang terkesan dengan banjir.

Pengarahnya, Abdul Rahim Mat berkata, kemudahan logistik itu bagi memastikan calon-calon yang terjejas dapat hadir ke pusat peperiksaan dengan selamat.

"Di kawasan Kubang Pasu telah dinaiki air disediakan lori tiga tan yang bertugas membawa anak-anak sewal pukul 6.00 pagi tadi," beliau bercakap kepada pemberita, selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Darul Aman SMKBBD yang dijadikan sekolah alternatif bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra yang terjejas banjir semalam.

Semalam seramai 163 calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra dipindahkan ke sekolah itu, dengan bantuan beberapa trak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Setakat pagi tadi sebanyak empat buah sekolah rendah dan satu buah sekolah menengah terjejas banjir di Kedah.

TETITIA YUSOFF