KUALA NERUS, 19 Januari- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu membaik pulih kerosakan rumah nelayan yang terjejas disebabkan hakisan dan sebagainya, susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda kawasan Pantai Timur.
Bantuan itu diberikan menerusi peruntukan khas RM10 juta yang disediakan kerajaan untuk membantu nelayan tinggal di kediaman yang lebih selesa.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata bantuan peruntukan disalurkan adalah bergantung kepada jenis kerosakan dan mempunyai dua cara sama ada baik pulih atau membina rumah baharu.
"Kita perlu menilai dahulu kelayakan mereka dan jumlah kerosakan. Kita peruntuk setakat RM20,000 namun, kerosakan yang berlaku itu bergantung kepada kelayakan dan penilaian yang kita buat.
Sama ada, rumah itu rosak akibat hakisan atau tidak, itu tidak menjadi persoalan. Yang penting mereka adalah layak untuk diberikan peruntukan dan LKIM bersedia untuk membantu," kata Muhammad Faiz kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah 2025 kepada 100 anak nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Terengganu Utara di Dewan Sri Nariah The Payang Scout Hotel, Jalan Pantai Teluk Ketapang, di sini.
Tahun ini, seramai 500 anak nelayan mendapat manfaat hasil program madani tersebut melibatkan lima PNK dari setiap zon di seluruh negara.