KUALA LUMPUR, 22 November- Sebanyak RM448.87 juta peruntukan untuk pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah dilaporkan tidak dibelanjakan.
Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu adalah baki peruntukan terkumpul setakat 2022.
Bercakap pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 hari ini, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata pengurusan penyaluran peruntukan adalah kurang memuaskan berikutan KPKM tidak menyemak baki peruntukan di LPP.
Dalam sidang media sama, Datuk Wan Suraya berkata isu kelewatan pembekalan baja untuk tempoh 2016 hingga 2019 adalah kerugian kepada kerajaan dan golongan sasar tetapi tiada tindakan dikenakan kepada pembekal.
Selain itu, pencapaian yang tidak memuaskan turut dikesan pada Program Ramalan dan Amaran Banjir melibatkan Fasa 1 (2015-2022) di tiga lembangan sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kadar ketepatan ramalan banjir hanya mencapai 5.6% sahaja dan kekal tidak berupaya mengeluarkan amaran serta hebahan dua hari lebih awal, meski kerajaan telah membelanjakan RM145 juta untuk program berkenaan.
"Beberapa projek tidak mencapai objektif yang ditetapkan, disebabkan sasaran tidak dapat dicapai antaranya kelewatan dalam penyampaian projek, penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan, pencapaian projek program yang rendah dan kelemahan pengurusan yang menjejaskan pencapaian objektif secara keseluruhannya," kata Datuk Wan Suraya dalam sidang media, hari ini.
Berhubung pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan, Datuk Wan Suraya berkata antara isu dibangkitkan adalah berhubung sasaran awal pembangunan Kwasa Damansara dalam tempoh 15 tahun.
Ia bermula Julai 2012 hingga 2027 yang masih belum dicapai oleh Kwasa Land Sdn Bhd (KLSB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, pelaburan KWSP dalam KLSB melibatkan modal berbayar berjumlah RM1.770 bilion namun tiada bayaran dividen sejak ditubuhkan pada 2009.