fb fb fb fb fb

Liputan internet 4G di semua kawasan berpenduduk di Sarawak tahun depan

 

KUCHING, 11 Februari - Liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak dijangka mencapai kadar 100 peratus menjelang tahun depan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sebanyak 82.86 peratus dari kawasan berpenduduk di Sarawak sudah mendapat liputan tahap 4G pada tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat pejabat MCMC Sarawak di sini, Julaihi berkata sebanyak 636 menara baharu dengan kos RM4.09 bilion akan dibina di bawah fasa pertama program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk mencapai sasaran itu.

"Sebanyak 299 menara JENDELA Fasa Satu telah dianugerahkan kepada penyedia perkhidmatan yang dilantik pada Januari 2022 dan dijangka beroperasi pada suku ketiga 2023.

“Baki 337 menara lagi dijangka dibina bermula Mac ini dan dijangka siap tahun depan," katanya sambil menambah menara terbabit merupakan tambahan kepada 106 menara baharu 4G yang sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan dijangka beroperasi menjelang suku kedua 2023.

Julaihi juga berkata sebanyak 2,442 stesen pemancar di Sarawak telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G manakala 572 lagi menjelang bulan depan.

Beliau berkata sebanyak 523 lokasi dikenal pasti untuk pemasangan satelit di bawah pelan JENDELA bagi mengatasi masalah capaian jalur lebar di kawasan terpencil supaya penduduk boleh mengakses perkhidmatan itu secara percuma selama dua tahun.

"Kemudahan alternatif ini telah mula dilaksanakan pada Oktober 2021 dan setakat ini, sebanyak 418 lokasi telah siap pemasangan dan beroperasi manakala baki 105 lokasi lagi dijadualkan siap menjelang Mei 2022," katanya. - BERNAMA

Media Baharu