fb fb fb fb fb

BNM akan ambil tindakan jika kesilapan pemprosesan CIMB langgar peraturan

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil tindakan penyeliaan sewajarnya terhadap CIMB Group Holdings Bhd sekiranya terbukti berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau pengawalseliaan dalam insiden membabitkan kesilapan pemprosesan bank itu baru-baru ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ketetapan pengawalseliaan berkenaan termasuk aspek pematuhan piawaian pengurusan risiko yang boleh diterima.

"Kita sedang meneliti keadaan khusus yang membabitkan insiden tersebut," katanya selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021 dalam sidang media secara maya di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berkata BNM juga telah meminta CIMB memastikan usaha mendapatkan semula dana terbabit tidak akan menjejaskan keupayaan pelanggan mendapat akses kepada akaun masing-masing selain membolehkan pilihan munasabah untuk mereka memulangkan semula lebihan dana berkaitan.

Baru-baru ini beberapa pelanggan CIMB dikejutkan apabila akaun bank mereka dibekukan, sekali gus menyukarkan mereka melakukan transaksi. Malah, terdapat beberapa akaun menunjukkan mperlihatkan angka akaun negaatif.

Menurut laporan media, CIMB telah menjelaskan bahawa terdapat kesilapan pemprosesan dalam sistem perbankannya yang menyebabkan sejumlah akaun dibekukan.

Bank itu sedang menghubungi pelanggan terlibat bagi memastikan penyelesaian secara adil dan terurus.

 

Media Baharu