KUALA TERENGGANU, 11 Februari -Jemaah yang menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah umrah, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menerima bayaran daripada kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.
"Kita akan ambil nama jemaah umrah yang terlibat daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan jelas, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil bayaran di Tabung Haji.
"Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), jadi pihak kementerian akan beri kepada Tabung Haji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini dilapor akan membayar antara 50% hingga 60% kerugian yang dialami oleh jemaah sepanjang penangguhan sementara ibadah umrah selama sebulan bermula 8 Januari lepas.
TH dan MOTAC dalam pada itu sudah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.
Bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.