KUALA LUMPUR, 15 Mei - Sebanyak 96 instrumen perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka akan dimeterai sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata, ia melibatkan jumlah sebanyak RM11.2 bilion berbanding RM10 bilion pada edisi sebelumnya.
"Kita lihat bahawa LIMA'25 merupakan satu platform yang sangat penting dan memberi impak untuk mempertingkatkan keupayaan industri (pertahanan) tempatan.
"Pada masa sama, membina kompetensi dan kemahiran kepada pelabur dan pempamer memperluaskan perniagaan," ujarnya kepada RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Beliau turut memaklumkan pertambahan jumlah pempamer yang merekodkan peningkatan mendadak kepada 299 berbanding 244 pada edisi terdahulu.
Tambahnya, 377 pempamer lagi dari syarikat antarabangsa.
"Jumlah pempamer yang semakin meningkat melibatkan syarikat asing dan tempatan. Ini menunjukan perkara yang sangat positif dan merupakan pengiktirafan bahawa LIMA'25 setanding dengan pertunjukan pertahahanan di luar negara," tambahnya.