KUALA LUMPUR, 21 November - Lima wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-100, di Shah Alam, semalam.
Ekoran pandemik COVID-19, lima graduan muda ini terpaksa mengikuti Pembelajaran Terbuka dan Secara Jarak Jauh (ODL) atau pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya sejak tahun 2020.
Mereka telah membuktikan bahawa proses pembelajaran secara dalam talian juga mampu melahirkan graduan cemerlang dengan dedikasi dan usaha yang konsisten.
Muhammad Syazwan Hakimi Lee Muhammad Fuad Lee, Nursharina Izlyn Azmi, Izzah Afiqah Abdul Kahar, Muhammad Amin Noorazam dan Nur Mysara Fauzi masing-masing berusia 24 tahun telah menamatkan pengajian dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (UiTM) pada Ogos tahun lalu.
Tiga daripada mereka menerima ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama iaitu Syazwan Hakimi, dari jurusan Penyiaran yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor Kelas Pertama.
Manakala, Izlyn Azmi jurusan Penerbitan dan Izzah Afiqah jurusan Penyiaran masing-masing menerima skrol ijazah Kelas Pertama.
Ketika ditemui, Syazwan berkongsi rahsia kejayaannya meski pun proses pengajaran dan pembelajaran secara maya sesuatu yang mencabar.
"Setiap individu mempunyai waktu belajar yang berbeza-beza. Ada yang lebih sesuai belajar pada lewat malam, manakala ada yang tidak. Penting untuk mengenal pasti waktu terbaik yang sesuai dengan diri sendiri," ujar Syazwan.
"Setiap kejayaan pasti disertai cabaran. Oleh itu, walau apa pun halangan yang dihadapi, jangan sesekali berputus asa, dan yang paling penting, hargai mereka yang telah membantu kita," kata Izzah Afiqah.
"Bagi saya, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, walaupun berhadapan dengan cabaran ODL. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan keluarga dan pensyarah yang banyak membantu," ujar Izlyn, yang turut ditemani keluarganya semasa majlis konvokesyen.
Dalam pada itu, Muhammad Amin Noorazam, yang kini bertugas sebagai penyampai berita radio di bahagian BES adalah graduan dari jurusan Kewartawanan dengan Kelas Kedua Tinggi.
"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kejayaan ini. Namun, saya ingin berpesan kepada semua, teruskan usaha dan jangan takut untuk bertanya supaya kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung demi masa depan yang lebih baik," ujar Amin Noorazam.
Nur Mysara Fauzi, kini bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Johor juga Kelas Kedua Tinggi turut meraikan kejayaannya pada hari bersejarah itu.
"Kepada pelajar di luar sana, teruskan usaha tanpa putus asa, dan saya berharap dapat memberi sumbangan yang bermakna dalam bidang yang saya ceburi," kata Nur Mysara.
Pada sidang Ke-13 konvokesyen itu, seramai 581 graduan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media menerima ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang pengajian.