SHAH ALAM, 21 November - Kadar gaji minimum di Selangor akan diselaraskan kepada RM1,700 tahun depan seiring pelaksanaannya di peringkat persekutuan.
Menurut Exco Sumber Manusia Selangor V. Papparaidu, beberapa pendekatan akan dilaksana termasuk jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan antaranya Jabatan Tenaga Kerja, badan berkanun dan sektor swasta.
"Langkah itu bertujuan menggalakkan pemberian gaji yang adil dan berpatutan di samping mengambil kira keadaan ekonomi dan kadar inflasi.
"Ini juga bagi memastikan syarikat yang mendapat kontrak kerajaan negeri mematuhi gaji minimum ditetapkan. Pelaksanaan yang berkesan memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran bersama semua pihak," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.
Sebagai negeri maju dan memiliki perkembangan ekonomi yang baik, kerajaan negeri akan memastikan usaha mengadaptasi perubahan tanpa menjejaskan operasi.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Ijok, Jefri Mejan.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.