
ANGKASAPURI, 7 Mac – Lima penuntut dan pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih menjadi imam sempena Program Qari in Residence di United Kingdom, Australia dan Singapura.
- Program promosikan institusi pendidikan sebagai pusat melahirkan hafiz berkualiti dan memberi latihan pengalaman berkhidmat dalam kepelbagaian budaya jemaah.
- Pemilihan melibatkan saringan temuduga dari aspek hafazan serta kemahiran sosial termasuk pengucapan awam.
- Persediaan termasuk bimbingan dalam talian dan sesi ulangan bacaan al Quran secara berkala. Pengalaman mewakili negara dianggap membanggakan.
Menurut Pengarah Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-FURQAN), Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Ghani, program tersebut memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
“Terdapat tiga objektif besar yang ingin dicapai melalui program ini. Yang pertama, kami ingin promosikan UPSI sebagai satu pusat pendidikan yang melahirkan ramai golongan hafiz al-quran yang berkualiti.
Kami juga ingin memberikan mereka latihan dan pengalaman kepada pelajar tersebut. Pengalaman menjadi imam di Malaysia tentunya sangat berbeza daripada segi kepelbagaian kaum dan budaya jemaah di luar negara,” katanya demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini.
Sementara itu, Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI, Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam, para pelajar perlu melepasi beberapa saringan sebelum dipilih menyertai program tersebut.
“Para imam yang terlibat dalam program ini akan melalui prosos temuduga dalam aspek hafazan dan kemahiran sosial seperti pengucapan awam.
“Setakat 20 hari pengalaman saya di Singapura, banyak perbezaan budaya yang dapat saya lihat antaranya daripada segi wirid dan nazar. Namun, kita tetap meraikan komuniti Islam yang mempunyai pelbagai latar belakang di sini”, katanya.
Beliau yang sedang bertugas sebagai imam di Masjid Al-Ghufran, Singapura, turut berkongsi persediaan yang dibuat sebelum memulakan tugasnya sepanjang bulan Ramadan di sana.
“Setelah berjaya dipilih sebagai imam, pihak Masjid Al-Ghufran terus menghubungi saya untuk mengadakan sesi ulangan bacaan al-Quran secara berkala.
Selama tiga bulan, saya dibimbing secara dalam talian bagi memperbaiki bacaan sehingga selesai 30 juzuk,” katanya ketika ditemuramah secara dalam talian dalam program Selamat Pagi Malaysia, pagi ini.
Tambahnya lagi, pengalaman mewakili negara untuk program Qari in Residence ini merupakan pengalaman yang membanggakan dan amat berharga buat dirinya.