fb fb fb fb fb

Lima LRA terkesan akibat banjir di Baling telah pulih sepenuhnya - SADA

ALOR SETAR, 7 Julai- Lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang sebelum ini terkesan akibat kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Isnin lepas telah pulih.

Bahagian Komunikasi Korporat Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan setakat pukul 9 pagi tadi, LRA Sungai Petani, LRA Pinang Tunggal, LRA Kulim Hi-Tech, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Kuala Ketil Baru telah beroperasi pada kadar maksimum.

“Pengguna yang terkesan dengan gangguan bekalan air itu akan menerima bekalan air secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial rasmi Facebook SADA, hari ini.

Bekalan air di kawasan terjejas akan kembali bergantung kepada jarak lokasi dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

Semalam, sebanyak 280,000 akaun pengguna SADA di tiga daerah iaitu Baling, Kuala Muda dan Kulim terjejas berikutan gangguan bekalan air yang disebabkan oleh kadar kekeruhan air mentah yang tinggi akibat insiden berkenaan.


( Salah satu daripada lima LRA yang terkesan akibat Bencana Banjir Besar Baling/ FB Syarikat Air Darul Aman)

Media Baharu