ALOR SETAR, 23 Julai- Lima kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis perniagaan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu Pemeriksaan Kebersihan dan Lesen Premis oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar di sekitar Jalan Langgar, Alor Setar.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya menerusi kenyataan berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta tahap kebersihan yang optimum di premis-premis perniagaan.
Dalam operasi tersebut sebanyak tiga premis telah diperiksa.
MBAS telah mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk lesen tamat tempoh, tiada perangkap minyak, perangkap minyak yang tidak diselenggara, tong sampah tidak tertutup, serta halangan kerusi meja di tempat awam.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar turut mengeluarkan tujuh kompaun terhadap pekerja yang gagal menunjukkan kad suntikan typhoid serta tidak berpakaian lengkap semasa mengendalikan makanan.
Tegas Datuk Abdul Gafar, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung tahap kebersihan yang kurang memuaskan di premis perniagaan termasuk di medan selera dan pasar malam.
Justeru pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.