fb fb fb fb fb

Lima ahli baharu JKMR terima surat pelantikan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Ahli JKMR Sesi 2023-2026/FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 November - Lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berhubung masalah rasuah dalam negara.

Lima ahli JKMR baharu terdiri daripada Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Pengerusi), Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Pelantikan itu berkuat kuasa pada 9 Oktober lalu hingga 9 Oktober 2026 bagi tempoh tiga tahun atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan berkata pelantikan lima ahli tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694)

Mereka yang dilantik dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mendapatkan penjelasan Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan dan fungsi Suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009.

"Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara.

"Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti Suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli dan dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara Senator Ir Md Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR itu diserahkan oleh Anwar sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN