KUALA LUMPUR, 6 Mei- Orang ramai digalak untuk menggunakan pelbagai jenis pengangkutan awam bagi tujuan ke destinasi program LIMA Langkawi 2023 (LIMA'23) yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Sathiran Muniayan, ia meliputi perkhidmatan seperti keretapi, bas, teksi, e-hailing, feri dan kapal terbang.
"Kami menggalakkan orang ramai supaya hadir ke program tersebut menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada. Pengangkutan yang disediakan ini, harga-harga mereka lebih kepada permintaan pasaran sendiri, kadar pasaran.
Jadi, kami menggalakkan orang ramai merancang pergerakan yang rapi termasuk membeli tiket lebih awal dan sebagainya. Kerajaan akan bantu sebaik mungkin untuk memudahkan urusan perjalanan rakyat ke acara berkenaan,"kata Jana Sathiran kepada pemberita selepas merasmikan program Hari bertemu Pelanggan dan Karnival Kerjaya serta pameran Mini dan pelepasan Pertandingan" 24 Hours Challenge "LIMA'23 di KL Sentral.
(Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Sathiran Muniayan melepaskan
peserta Pertandingan" 24 Hours Challenge "LIMA'23 di KL Sentral/Foto FB KSU)
Jelasnya, penganjuran pertandingan "24 Hours Challenge" LIMA'23 merupakan salah satu platform Kementerian Pengangkutan (MOT) menyemarakkan kesalinghubungan pengangkutan awam ke tahap yang lebih baik dan efisyen.
Peserta yang menyertai akan bertolak dari Kuala Lumpur ke Langkawi dalam tempoh 24 jam menggunakan pengangkutan awam.
Penyertaan melibatkan sebanyak 16 kumpulan yang terdiri daripada peserta awam, media dan pempengaruh.