SEGAMAT, 6 Mei- Perbincangan sedang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan atau menamatkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negara ini.
Ia susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa COVID-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata kes COVID-19 di negara menunjukkan trend peningkatan namun masih terkawal.
Buat masa ini, belum ada keputusan muktamad dibuat dan saranan itu sedang dipertimbang.
"Buat masa sekarang, kita nasihatkan guna pakai SOP sedia ada, menjaga keselamatan diri, pakai pelitup muka kalau perlu terutama mereka yang bergejala.
Kita galakkan rakyat lakukan sedemikian sehingga kita buat kenyataan, sama ada akan putuskan seperti WHO," kata Zaliha ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sekijang, di sini.
Semalam, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan beliau mendapat saranan untuk menamatkan status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) dan bersetuju menerima nasihat itu.
Nasihat berkenaan dinyatakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan ke-15 di London.
(Menteri KKM, Dr Zaliha Mustafa ditemui pemberita pada Majlis Rumah
Terbuka Aidilfitri Parlimen Sekijang)