fb fb fb fb fb

Pegawai kanan, anggota polis direman kes rasuah RM5,000

JERANTUT, 6 Mei- Enam anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut direman enam hari mulai hari ini kerana disyaki menerima suapan RM5,000 sebagai balasan menyelesaikan kes rampasan air ketum.

Suspek terdiri daripada seorang pegawai kanan berpangkat inspektor, sarjan mejar (1), koperal (2) dan lans koperal (2).

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman selepas meneliti permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kamarnya hari ini.

Suspek ditahan SPRM petang semalam susulan laporan seorang lelaki mendakwa menyerah wang suapan itu kepada seorang lelaki sebagai imbuhan menyelesaikan kes serbuan dan rampasan air daun ketum pada 3 Mei lalu.

Pengarah SPRM Pahang,  Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

"Suspek berusia 28 hingga 48 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar Jerantut, petang semalam.

"Mereka kini ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Temerloh untuk siasatan lanjut," katanya.

(Pegawai kanan, anggota polis direman kes rasuah RM5,000)

Media Baharu