KANGAR, 10 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggerakkan pegawai dan anggota penguat kuasa bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan sepanjang berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).
LIMA’23 dijadualkan berlangsung mulai 23 hingga 27 Mei ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh, bagi memastikan tidak berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak sepanjang LIMA’23, KPDN Kedah akan bertanggungjawab melakukan pemantauan dan penguatkuasaan.
Pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan perkhidmatan kereta sewa, tempat penginapan dan makanan agar peniaga atau penyedia perkhidmatan tidak menaikkan harga bagi mengaut keuntungan.
Bagi menyokong usaha ini, beliau sendiri turut akan turun padang bersama pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kedah.
"Kita memohon semua pemain industri sama ada kereta sewa, hotel dan makanan agar tidak mencatut kerana ia menyalahi Antipencatutan. Kita akan mengawal dan memastikan tidak berlaku kenaikan tersebut yang tidak munasabah," katanya kepada pemberita di sini.
(Bagi menyokong usaha ini, beliau sendiri turut akan turun padang bersama
pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kedah)