fb fb fb fb fb

PDRM pandang serius kesalahan tatatertib anggota

(Acryl Sani Abdullah Sani)

KUANTAN, 10 Mei- Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menyiapkan laporan lengkap berkaitan dakwaan 125 salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang belum diambil tindakan seperti didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM sedang meneliti laporan yang didakwa belum dimaklumkan kepada SPRM mengenai tindakan yang diambil kepada anggota terlibat.

Ujarnya, PDRM memandang serius kesalahan tatatertib yang dilakukan pegawai dan anggotanya, malah tidak akan berkompromi mengenainya demi menegakkan integriti dalaman agensi penguatkuasa itu.

Beliau berkata, dalam masa yang sama juga, PDRM sedang meneliti mana-mana laporan yang mendakwa pihaknya tidak memaklumkan kepada SPRM mengenai tindakan yang diambil kepada anggota polis yang melakukan kesalahan.

"Sekali lagi saya berikan jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi, kita tidak pernah ambil leka, dan kita akan sentiasa memberi kerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan integriti PDRM sentiasa ditegakkan.

"Kita (PDRM) memandang serius pelanggaran tatatertib mana-mana pegawai atau anggota," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.

Tambah beliau, PDRM akan memberikan kerjasama dengan memaklumkan kepada SPRM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) tentang tindakan yang telah diambil kepada pesalah.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat sebanyak 553 laporan salah laku tidak diendahkan oleh agensi kerajaan, walaupun syor agar tindakan diambil telah dibuat oleh SPRM, dengan 125 laporan membabitkan anggota PDRM.

Dalam perkembangan lain, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang yang ke-35 berkuat kuasa hari ini.

Yahaya sebelum ini adalah pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman.

(Acryl Sani berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang
di IPK Pahang)

Media Baharu