(Program Celik Halal Malaysia Bersama Imam Peringkat Kebangsaan di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 10 Mei- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam fasa perbincangan bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mempermudahkan urusan mendapatkan persijilan halal Malaysia.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, setiap peringkat yang dilakukan bagi mendapatkan sijil halal adalah bagi mematuhi standard ISO yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
"KIta sedang lihat peringkat mana yang mungkin boleh dipermudahkan, jika ada, kita akan lakukannya dan terdapat juga proses berbentuk 'laluan pantas' dan 'senarai putih'.
"Contohnya kalau permohonan yang tidak mempunyai ramuan 'kritikal', misalnya, restoran yang memang sudah ada sijil halal JAKIM, namun ingin menambah menu dengan bahan ramuan yang pihak JAKIM sudah keluarkan sijil halal. Jadi, permohonan sebegitu akan kami boleh segerakan," katanya pada Program Celik Halal Malaysia Bersama Imam Peringkat Kebangsaan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di sini.
Beliau menjelaskan lagi, bagi kes syarikat terpaksa menunggu sehingga sembilan bulan untuk mendapat pengiktirafan halal, ia adalah melibatkan kes-kes tertentu sahaja.
Kes tertangguh itu turut melibatkan pematuhan pihak industri yang gagal mengikut beberapa aturan ditetapkan JAKIM.
Mengikut piagam yang sepatutnya, pihak industri akan mendapatkan pengesahan dalam tempoh 30 hari bekerja selepas membuat bayaran.
Ujarnya, persepsi dan tanggapan negatif terhadap pihak berautoriti dalam pensijilan halal Malaysia perlu dihapuskan kerana badan persijilan Halal Malaysia merupakan yang terbaik di dunia.
Beliau turut meminta supaya masjid berfungsi sebagai pusat sehenti penduduk setempat dalam mendapatkan maklumat berkaitan halal dan kesedaran pengguna dalam mencari produk yang halal.
(Hakimah Mohd Yusoff)