SUBANG JAYA, 10 Mei - Sebanyak 12 Syarikat Konsesi bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka menggunakan kad debit dan kredit, yang dijangka berkuat kuasa sepenuhnya pada September depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, rundingan bersama konsesi lain masih diteruskan.
Beliau berkata lebuh raya berkenaan adalah Lebuh raya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP); Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT); Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX).
Katanya ia juga melibatkan Lebuhraya Sungai Besi; Lebuhraya Baru Pantai (NPE); Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Koridor Guthrie; Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
“Setakat ini, ini adalah syarikat konsensi yang setuju melaksanakan sistem pembayaran terbuka, yang lain rundingan masih dibuat dan kita berharap ada lagi yang tampil untuk bersama mengambil bahagian,” katanya.
(Nanta bercakap kepada pemberita selepas melawat
Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Menara Korporat, Persada PLUS di Subang/FOTO BERNAMA)
Tambahnya, kerajaan juga akan terus meneliti aspek keselamatan bagi memastikan pelaksanaannya sempurna.
"Kesemua aspek kita hendak pastikan risiko dalam kadar minimum, itu sebab perbincangan ambil masa kerana kita mahu pastikan isu-isu dan kemungkinan masalah tidak akan berlaku. Jadi tidak boleh tergesa-gesa " kata Nanta.
Dalam pada itu, Nanta turut memaklumkan kerja awal naik taraf melibatkan projek pelebaran laluan lebuh raya Sedenak dan Pasir Gudang, Johor sudah bermula dengan peruntukan sebanyak RM525 juta.
Projek dijalankan bawah peruntukan Belanjawan 2023.
“Peruntukan adalah bawah Belanjawan 2023 dan apabila telah diluluskan, kerja-kerja awal sudah dibuat dan kita serahkan pada PLUS untuk melaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.