fb fb fb fb fb

'Lihat negara maju, murid belajar bersama komuniti' - Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR, 29 November - Proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, malah boleh dilaksanakan menerusi penglibatan murid-murid bersama komuniti setempat.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata faktor persekitaran dan komuniti memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran serta pembangunan minda pelajar.

Tambahnya, persekitaran itu juga mampu membina kesejahteraan dan memupuk semangat murid-murid untuk menyumbang semula kepada komuniti apabila meningkat dewasa.

"Di negara-negara maju, murid bukan sahaja belajar dalam kelas tapi mereka belajar dalam komuniti seperti di taman-taman kawasan komuniti.

"Pelajar dapat berhubung dengan masyarakat dan warga tua dalam komuniti, mereka juga belajar bersama masyarakat di pasar raya, dan bergotong royong. 

"Jadi pembelajaran yang berlaku pada murid bukan hanya bersifat isi kandungan yang terdapat dalam buku teks, tetapi mereka dapat pengalaman untuk berkomunikasi, berinteraksi, bersosial dengan masyarakat setempa," katanya selepas menjadi tetamu menerusi program Khas Pasca PRU15: Memperkasa Pendidikan di Angkasapuri.



Beliau menjelaskan interaksi sosial antara masyarakat dan pelajar-pelajar juga merupakan satu proses pembelajaran yang boleh dipraktikkan untuk menarik minat, sekali gus mewujudkan sebuah persekitaran pembelajaran yang pelbagai.


Media Baharu