JOHOR BAHRU, 9 Januari - Sesi libat urus bersama-sama 8,000 pemegang taruh sektor pendidikan bakal diadakan, bagi mendapatkan maklum balas berkenaan Pelan Pendidikan Tinggi 2025 - 2035 yang sedang dirangka.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejajar transformasi agenda pendidikan tinggi, pelan berkenaan penting dalam menentukan hala tuju pendidikan tinggi untuk tempoh 10 tahun akan datang.
"Jadi pihak jawatankuasa telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan penglibatan dan saya mendapat maklum balas bahawa penglibatan dibuat pemegang taruh melibatkan 8,000 pemegang taruh yang terlibat dalam bidang pendidikan ini mendapatkan maklum balas daripada semuanya," kata Dr Zambry.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Tahun 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts Mustapha Sakmud serta Naib Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Dalam pada itu, Zambry berkata proses mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan pendidikan tinggi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tenaga pengajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil masa agak lama.
“Prosesnya agak panjang dalam usaha menyediakan pelan pendidikan tinggi demi memastikan ia mempunyai impak.
“Pelan yang sedang dirangka ini bakal menjadi agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.
Zambry sebelum ini dilaporkan berkata pelan baharu itu akan melibatkan pakar tempatan bagi memastikan sistem pendidikan yang berdaya saing dan relevan.
KPT juga bercadang tidak mengambil khidmat perunding luar, sebaliknya menggunakan tenaga pakar tempatan yang lebih memahami keperluan negara.
Berdasarkan Kad Laporan KPT 2024, kementerian berjaya mencapai lima fokus utama bagi 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.