fb fb fb fb fb

Letak syarat untuk beli minyak paket 1kg, peruncit dikenakan tindakan - KPDN

Foto Ihsan KPDN Perak

PARIT BUNTAR, 13 Julai- Seorang peniaga kedai runcit di Alor Pongsu dikenakan tindakan undang-undang berikutan mengenakan pembelian bersyarat terhadap minyak masak 1 kilogram (kg).

Serbuan dilakukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak cawangan Parit Buntar hasil aduan orang ramai.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata pihaknya telah melakukan uji beli melalui Ops Samar bagi pengesahan terhadap aduan kepada premis tersebut.

Pihaknya mendapati peniaga terbabit mengenakan syarat pembelian dengan membeli barangan lain terlebih dahulu untuk mendapatkan barang kawalan minyak masak satu paket 1 kg.

Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa beruniform telah masuk ke premis bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh dan mendapati sebanyak 164 kg minyak masak paket berada dalam simpanan premis.

Satu arahan pengisytiharaan stok bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia kedai runcit berkenaan.

Kesemua minyak masak terbabit disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan lebih RM400.

Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM