MERSING, 30 Oktober - Sebanyak 1,000 ekor lembu yang diimport dari Australia dijangka tiba ke Lembah Tenusu Jemaluang, Mersing hujung minggu ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata ia menandakan permulaan baharu industri tenusu berskala besar di Johor.
Beliau memaklumkan, lembu-lembu tenusu berkenaan kini dalam perjalanan menaiki kapal penghantaran menuju ke Mersing.
"Ternakan tersebut bakal menjadi pemangkin kepada pengeluaran susu segar dengan sasaran mencecah 7 juta liter setahun menjelang 2027," kata beliau dalam satu kenyataan.
Lembah Tenusu Jemaluang turut berpotensi menyumbang sehingga 20 peratus kepada bekalan susu segar negara.
Projek yang bermula pada 2022 itu merupakan usaha strategik antara Kerajaan Negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan pihak swasta.