KUANTAN, 27 Januari- Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas didakwa dihanyutkan arus semasa menyeberangi Sungai Mas di Sungai Lembing, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa dikenali sebagai Suprianto, 43 tahun.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Bojonegoro didakwa turun ke sungai sekitar pukul 4 petang.
"Berdasarkan keterangan saksi yang sedang memancing, mangsa dilihat terkapai-kapai semasa hampir sampai di tebing sungai sebelum dihanyutkan arus.
"Saksi itu tidak dapat membantu mangsa kerana arus sungai terlalu deras ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas," katanya menerusi satu kenyataan.
Wan Mohd Zahari berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang semalam melibatkan pencarian di permukaan air memandangkan keadaan sungai masih berbahaya.
SAR ditangguhkan pada 6.30 petang kerana cuaca gelap dan bersambung pagi ini.