fb fb fb fb fb

'Lelaki misteri' buat kecoh di mahkamah dipercayai ada masalah mental

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Seorang lelaki misteri yang muncul di perkarangan pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengah hari semalam dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki itu muncul ketika kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Menurut Eng Lai, polis membuka kertas siasatan berkait kes itu selepas menerima satu laporan pada jam 4.38 petang tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah seorang guru yang dipercayai mempunyai masalah mental.

“Namun, apabila sampai di perkarangan mahkamah, lelaki berkenaan bertindak membuat ucapan dengan suara yang lantang dan kuat ke arah media yang sedang terlibat dalam tugas liputan perbicaraan kes 1MDB Datuk Seri Najib Razak.

"Kejadian dilaporkan sekitar jam 12.10 tengah hari dan siasatan mendapati lelaki itu hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di aras empat bangunan terbabit.

"Bagaimanapun, anggota polis bertugas tidak membenarkan lelaki terbabit masuk ke kamar mahkamah kerana tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit sebelum diarahkan beredar dengan cara baik," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Eng Lai berkata, lelaki itu kemudian diarahkan oleh pihak polis untuk beredar supaya tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206," katanya.

(Seorang lelaki tidak dikenali ditahan polis selepas membuat kecoh
di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 
ketika perbicaraan
kes 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak semalam/Syot layar)

Sejak semalam, tular beberapa rakaman video memaparkan tindakan lelaki misteri itu yang membuat 'hujahan awam' dengan suara nyaring dan nada lantang berkaitan bekas Perdana Menteri ke-6 di hadapan petugas media ketika membuat liputan prosiding perbicaraan tersebut.

Lelaki terbabit sempat 'berucap' kira-kira lima minit sebelum diarahkan oleh pihak polis untuk beredar keluar dari kawasan kompleks mahkamah dengan diiringi dua anggota polis.

Bagaimanapun, seorang penyokong Najib, Datuk Seri Said Nazar Abu Bakar menafikan bahawa lelaki berkenaan bukan penyokong Najib.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hadir di Mahkamah Tinggi di sini, pada pagi Khamis bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Kehadiran Najib adalah kemunculan pertama beliau selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.


Media Baharu