ALOR SETAR, 24 Februari - Malang tidak berbau, pepatah untuk menggambarkan seorang lelaki yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di atas bumbung sebuah rumah.
Kejadian berlaku di lorong Derga, Alor Setar, Kedah, kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.46 pagi dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.
Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang berusia 38 tahun didapati terbaring diatas bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik semasa kerja-kerja penyelenggaraan di atas bumbung rumah.
Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mangsa kemudian dibawa turun dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.