fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut terperosok bawah lori hilang kawalan

Lori yang dilapor hilang kawalan dan melanggar mangsa

GEORGE TOWN, 12 Disember- Seorang lelaki menemui ajal apabila motosikal yang dipandunya dilanggar sebuah lori dari arah belakang di Jalan Batu Maung menghala sini, berhampiran Jambatan Kedua, Pulau Pinang.

Lori yang dipandu lelaki berusia 30-an itu dikatakan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan memasuki lorong bersebelahan sebelum melanggar mangsa, 41.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.21 malam tadi.

"Apabila pasukan bomba sampai di lokasi, terdapat satu mangsa yang berada di bawah lori.

"Kerja-kerja menyelamat (mengeluarkan) mangsa daripada bawah lori mengambil masa lebih kurang lima minit (sebelum) diserah kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Rohaizal berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan kaki, manakala pemandu lori hanya mengalami cedera ringan.

Operasi menyelamat turut disertai oleh anggota bomba dari BBP Jalan Perak.

 

1212 KEMALANGAN MAUT MOTOSIKAL 2Keadaan motosikal mangsa 

SITI AISHAH BINTI MD ISA