SHAH ALAM, 12 Disember- Kerajaan Negeri Selangor bakal menubuhkan Majlis Kerja dan Kemahiran Selangor pada tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata majlis itu ditubuhkan bagi mengenal pasti peluang pekerjaan sedia ada dan meningkatkan produktiviti pekerja.
"Fungsinya adalah untuk mengenal pasti apakah peluang pekerjaan pasaran, dalam pada masa sama agensi juga dapat atau intitusi dapat mencipta bidang-bidang latihan baharu yang bersesuaian dengan pasaran. Sebagai contoh 'programming' pada hari ini, 'programming' merupakan satu bidang yang sangat popular dan diperlukan dengan ketidakcukupan yang tinggi sebab ada sebahagian latihan 'programmer' di kampus tidak terkini dan ada keperluan teknologi dan perkembangan teknologi baru", katanya.
Amirudin berkata, majlis berkenaan membolehkan rakyat di negeri ini memanfaatkan pekerjaan sedia ada dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan melalui padanan pekerjaan, peluang latihan teknikal dan vokasional.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.