fb fb fb fb fb

KPM pandang serius kemerosotan skor PISA 2022

Foto FB Fadhlina Sidek

SHAH ALAM, 12 Disember- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkannya dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau menyifatkan pengekalan itu merupakan satu kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk dirinya terus menerajui kementerian itu.

Menganggap pengekalan itu sebagai amanah yang berat, Fadhlina tekad untuk meneruskan usaha bagi memperkasakan dasar dan taraf pendidikan negara.

"Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada yang berhormat Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya menerajui KPM. Saya fikir ini amanah yang cukup berat untuk tahun seterusnya, iltizam kita telah kita pamerkan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan agenda pendidikan kita ini terus diangkat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor di sini.

Mengenai pertukaran jawatan Timbalan Menteri Pendidikan yang sebelum ini disandang Lim Hui Ying, Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada Hui Ying yang telah membantunya menjalankan khidmat dengan baik sepanjang setahun.

Malah, beliau turut mengalu-alukan kehadiran Wong Kah Woh selaku Timbalan Menteri Pendidikan yang baharu.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM memandang serius kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam Program Pendidikan Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang dilaporkan baru-baru ini.

Jelasnya, beberapa punca telah dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemerosotan berkenaan.

Antaranya, penutupan sekolah dalam tempoh masa yang lama akibat penularan COVID-19 dan kemiskinan multidimensi.

"Semua masalah dan isu itu telah kita tangani dan akan terus kita tangani," kata Fadhlina.

Baru-baru ini dilaporkan, prestasi pelajar Malaysia dalam PISA 2022 merosot berbanding skor yang diperoleh pada 2018.

Menerusi laporan berkenaan, pelajar Malaysia mengalami penurunan skor untuk tiga sektor utama iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.

Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, sebanyak 58 negara mengalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Jerman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM