MANTIN, 5 Januari- Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang bersama sahabatnya melanggar kenderaan di lorong kecemasan di Kilometer 29.1 Lebuhraya Kajang-Seremban Arah Selatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Malik Hasim dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah bengkel di Kajang dalam perjalanan ke Senawang untuk menikmati juadah makan malam.
Kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha yang ditunggang oleh dua lelaki berumur 20 hingga 30-an dan satu kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan tangki fiber kosong, dipandu oleh seorang lelaki bersama isteri dalam usia lingkungan 50-an bersama dengan anaknya yang berusia lingkungan 30-an.
Siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan pacuan empat roda telah berhenti di lorong kecemasan kerana dipercayai kenderaan mengalami masalah pada bahagian enjin.
Pada masa sama, motosikal dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bucu sebelah kanan kenderaan sebelum melanggar pemandu dan anak beliau yang berada di luar kenderaan ketika itu.
Sebuah lagi motosikal juga cuba mengelak dan hilang kawalan dan terjatuh.
Akibat daripada perlanggaran pertama, penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk dibedah siasat.
Manakala penungang kedua mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.