KUALA LUMPUR, 5 Januari- Polis mengesahkan menerima laporan kes kemalangan jalan raya membabitkan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Jalan Garuda, Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang, petang semalam.
Nahas dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.15 petang melibatkan ambulans APM dan sebuah motolori kren.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motorlori kren yang dipandu dari Jalan Merak menuju ke arah Klang telah berhenti di persimpangan tiga di Jalan Garuda.
"Semasa sedang menunggu untuk keluar simpang, ambulans APM dari arah Rimbayu menuju ke Sijangkang yang sedang bergerak terus telah melanggar bahagian besi kren atas motor lori kren tersebut yang terjulur ke hadapan di laluan ambulans.
"Akibat daripada perlanggaran itu ambulans APM mengalami kerosakan di bahagian belakang," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Mohd Akmalrizal, kedua-dua pemandu motorlori kren dan pemandu ambulans tidak mengalami kecederaan.
Manakala penumpang ambulans yang duduk di bahagian belakang, wanita berumur 20-an mengalami kecederaan di bahagian muka dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Banting.
Kes disiasat dan diklasifikasi bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes: Insp Mohd Sohairi Manaf (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuala Langat) di talian 019- 9993077 atau 03-31872222," kata Mohd Akmalrizal.