fb fb fb fb fb

Lelaki maut, wanita cedera dalam insiden pokok tumbang

FOTO FACEBOOK BOMBA KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kereta dipandu mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian berasingan di ibu kota susulan ribut dan hujan lebat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan melibatkan insiden pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar bandar raya.

“Pasukan bomba telah dikerahkan ke semua lokasi terjejas bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan, pemotongan pokok tumbang serta memastikan keselamatan kawasan awam terjamin,” menurut kenyataan itu.

Antara lokasi terjejas termasuk di Sri Hartamas apabila kejadian di Hartamas Regency, Persiaran Dutamas, Taman Duta, mengakibatkan seorang lelaki berusia 40-an meninggal dunia selepas kereta dipandunya dihempap pokok.

Sementara di Jinjang, seorang wanita berusia 30-an cedera apabila kenderaannya ditimpa pokok tumbang.

Manakala di Manjalara, dua lokasi di Jalan Metro Prima, Kepong Baru dan Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri turut dilaporkan berlaku pokok tumbang melibatkan beberapa buah kereta.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

JBPM Kuala Lumpur turut memaklumkan, semua operasi penyelamatan dan pembersihan telah dijalankan dengan segera dan situasi kini berada dalam keadaan terkawal.

“Kesemua insiden telah ditangani dengan pantas oleh pasukan bomba Kuala Lumpur.

"Anggota akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan susulan cuaca tidak menentu,” jelas kenyataan itu lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur dan Selangor, yang dijangka berterusan sehingga malam ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD