PUTRAJAYA, 22 Oktober – Harga runcit petrol RON97 dan diesel turun sebanyak 4 sen seliter mulai esok hingga 29 Oktober ini.
- Harga runcit RON97 turun 4 sen seliter, berkuat kuasa esok hingga 29 Oktober.
- Harga runcit diesel turun 4 sen seliter; diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15.
- Harga RON97 kini RM3.14 seliter; RON95 bersubsidi BUDI95 kekal RM1.99, tanpa subsidi RM2.60.
- Kementerian Kewangan akan terus memantau pasaran minyak dunia dan menyelaras harga demi kestabilan serta kebajikan rakyat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, pengurangan harga itu seiring perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Penurunan harga ini menjadikan harga runcit RON97 kini RM3.14 (seliter) dan diesel pula RM2.89. Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal RM2.15.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bawah BUDI95 pula kekal pada paras RM1.99 (seliter) manakala harga tanpa subsidi RM2.60,” jelas kenyataan tersebut.
Kementerian Kewangan tegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” jelas kenyataan itu.