BOTA, 7 September- Seorang lelaki maut manakala tiga lagi terselamat selepas tertimbus tanah ketika melakukan kerja pengorekan paip di Kampung Teluk Kepayang, di sini, petang tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.00 petang.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kesemua mangsa berada di kawasan pengumpulan pasir sebelum longkang sedalam tiga meter yang sedang dikorek tiba-tiba runtuh.
Kejadian itu menyebabkan tiga mangsa tertimbus sehingga paras dada, manakala seorang lagi tertimbus sepenuhnya dalam tanah.
Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas dengan bantuan jengkaut bagi mengalihkan timbunan tanah dan batu.
Tiga mangsa yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.