JOHOR BAHRU, 5 Jun - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak 19 Mei lalu terjawab selepas ditemukan meninggal dunia di Taman Sentosa, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata mayat Muhammad Hamizan Ramli, 33 tahun ditemukan dalam kereta miliknya yang diparkir di hadapan sebuah premis perniagaan, pada pukul 11 pagi.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat.
"Siasatan awal di lokasi mendapati tiada kesan atau perbuatan melibatkan jenayah," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk bedah siasat.