fb fb fb fb fb

Lelaki gunting Jalur Gemilang ditahan polis

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Lelaki yang disyaki menggunting beberapa Jalur Gemilang berdekatan sebuah premis di Jalan Ampang, di sini, ditahan polis semalam.

Perbuatan lelaki terbabit berjaya dirakam orang awam sebelum rakaman video itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian itu pada pukul 12.00 tengah hari semalam seperti dalam rakaman video yang tular.

Beliau berkata siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku berdekatan bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, lebih kurang pukul 12.37 tengah hari, Rabu lepas.

“Individu yang terlibat ditahan kira-kira 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan individu tersebut akan direman hari ini bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menasihati orang ramai agar segera menyalurkan maklumat ke atas sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dengan menghubungi MERS 999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.


(Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya)

Berita berkaitan
Polis kesan lelaki gunting Jalur Gemilang

Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat dalam aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan bertopi biru menggunting beberapa Jalur Gemilang yang dipasang di laluan pejalan kaki dipercayai di hadapan MATIC di Jalan Ampang di sini.

Menurut pemilik akaun Tik Tok berkenaan, dia telah menegur perbuatan lelaki itu tetapi tidak diendahkan selain khuatir akan keselamatan diri ekoran pelaku memegang gunting.

Media Baharu