ROMPIN, 28 September – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, Muadzam Shah, di sini pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata mangsa dikenali sebagai Sharuddin, 43 tahun.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa pada pukul 10.28 pagi sebelum mengerahkan jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 77 kilometer dari Keratong 4.
“Operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pekan melibatkan empat anggota, sebuah lori Hicom dan sebuah bot fiber bagi menjalankan pemantauan serta usaha mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat pukul 5.54 petang, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian giat dijalankan.
Orang ramai dalam pada itu diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai serta mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.