fb fb fb fb fb

BUDI95 : Penerima STR di Kelantan luah rasa syukur

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 28 September - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Kelantan, meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila menjadi sebahagian individu terawal menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, selepas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diperluaskan kepada lima juta orang bermula hari ini.

Tinjauan RTM di stesen minyak di Kota Bharu mendapati, rata-rata masyarakat di Kelantan bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan usaha membantu mengurangkan beban rakyat melalui pemberian subsidi berkenaan.

Tuan Syam Edi Ahmad Tuan Mohd Shamsuddin berkata, dia menyambut baik bantuan kaedah pembelian petrol RON95 pada harga subsidi yang dilaksanakan menggunakan MyKad di semua stesen minyak. Katanya, ia secara tidak langsung mengelak ketirisan subsidi.

Manakala, bagi Abdul Muiz Abdul Ghani pula, BUDI95 banyak membantu meringankan beban rakyat terutama golongan B40.

"Sejujurnya bagi saya jumlah tersebut sangat membantu rakyat, sebab walau nampak sedikit tapi untuk kita banyak, sebagai rakyat sangat membantu meringankan beban kita", katanya.

Selain itu, Siti Maria Muhammad berkata dia bersyukur kerana menjadi sebahagian individu terawal menikmati harga petrol RON95. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana langkah menurunkan harga minyak ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat", katanya.

 
 

ROSLINA BINTI DIN