Lebih RM76 bilion hasil kutipan JKDM, manfaat besar kepada rakyat

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Almirulita Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan prestasi membanggakan apabila berjaya mengutip hasil sebanyak RM76.18 bilion bagi tahun 2025, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM mengutip RM76.18 bilion pada 2025, melebihi sasaran Kementerian Kewangan.
  • Hasil kutipan membiayai pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan bantuan seperti SARA.
  • Kecekapan kutipan memberi pulangan tinggi; setiap RM1 peruntukan menghasilkan sekitar RM46.45.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Almirulita Mohd Yusoff berkata peningkatan ketara kutipan hasil berbanding RM65 bilion pada 2024 membuktikan peranan kritikal JKDM dalam menjana pendapatan negara, sekali gus menyokong kesejahteraan rakyat.

“Peningkatan lebih RM10 bilion ini amat penting kepada rakyat Malaysia kerana daripada hasil RM76.18 bilion inilah kerajaan dapat menyalurkan peruntukan kepada pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, infrastruktur serta pelbagai kemudahan awam,” katanya kepada Berita RTM.

Beliau berkata hasil kutipan itu turut menjadi sumber utama kepada pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan kerajaan, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif bantuan bersasar lain yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Dari sudut kecekapan, setiap RM1 peruntukan yang disalurkan kepada JKDM berjaya menjana pulangan sekitar RM46.45, sekali gus membuktikan peruntukan kepada jabatan itu merupakan satu pelaburan strategik berimpak tinggi kepada ekonomi negara.

“Justeru, usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kutipan hasil perlu diperkukuh kerana manfaatnya akan kembali kepada rakyat dalam bentuk kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Prestasi kukuh JKDM itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam memperkukuh kedudukan fiskal negara serta menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia.