LANGKAWI, 19 Mei- Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan lebih RM28.6 juta bagi memastikan kemudahan jalan raya di sini berada dalam keadaan terbaik untuk keselesaan rakyat dan pelancong.
Perkara itu susulan Langkawi menjadi tumpuan dunia termasuk tuan rumah pelbagai acara antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), Kepengerusian ASEAN 2025 dan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, ia membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pulau peranginan itu memiliki infrastruktur mantap seiring statusnya sebagai destinasi pelancongan Malaysia.
"Daripada RM28.636 juta itu RM24.9 juta adalah untuk memperbaiki yang kita sebut sebagai turapan berkala iaitu lebih 85 peratus daripada peruntukkan.
"RM1.1 juta untuk penyelenggaraan jambatan, RM1.09 juta untuk kemudahan elektrik, RM1 juta baik pulih pagar pembatas, RM500,000 bagi kerja garisan jalan, RM88,000 penandaan kilometer dan RM80,000 bagi papan tanda dan perabut jalan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau jalan-jalan bawah selenggaraan Jabatan Kerja Raya daerah Langkawi di sini.
Kesemua projek berkenaan akan dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan kecekapan demi memastikan kualiti jalan raya terbaik.
Langkawi bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga simbol kejayaan Malaysia dalam menarik minat pelabur dan pemimpin global.