fb fb fb fb fb

Lebih RM17 juta peruntukan untuk Program Pembangunan Tanam Semula Getah di Kedah

Abdul Aziz Awang

BALING, 19 Mei- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM17.116 juta untuk Program Pembangunan Tanam Semula Getah di Kedah, tahun ini.
 
Pengarah RISDA Negeri Kedah, Abdul Aziz Awang berkata, ia melibatkan kawasan seluas 2,220 hektar.

"Kita kempen juga kepada penduduk-penduduk untuk mereka terus menanam tanaman getah sama ada di kawasan getah-getah tua yang telah berumur 20 tahun ataupun yang tak ekonomik, serta juga kawasan yang terbiar kerana kita memperluaskan lagi skop tanaman getah.

"Dahulu hanya kawasan getah tua, tetapi sekarang ini kawasan-kawasan yang terbiar elok dibangunkan, RISDA mempunyai peruntukan untuk tanam getah," katanya selepas merasmikan Kempen Tanam Semula dan Eksplorasi GAP Peringkat RISDA Daerah Baling di Kampung Bukit Payung, Mukim Bongor di sini.

Sebanyak RM3.238 juta diperuntukkan kepada RISDA Daerah Baling untuk program tanam semula getah melibatkan kawasan seluas 420 hektar.

Kira-kira RM13,710 bantuan diberikan untuk satu hektar kawasan tanaman semula getah dan akan dibayar secara ansuran sebanyak lima kali.
 
Pakej bantuan adalah bekalan input pertanian iaitu benih yang disyorkan, baja dan penyelenggaraan kebun.
 
RISDA juga turut menyediakan beberapa bentuk bantuan lain bagi menampung sumber pendapatan sama ada kehilangan sumber pendapatan dari getah kerana terpaksa menunggu empat tahun setengah sebelum boleh menoreh ataupun pada masa ketidakstabilan harga getah.
 
Antaranya, Agromakanan dan Tanaman Jangka Pendek dengan jumlah bantuan sebanyak RM20,000 untuk individu dan RM100,000 untuk berkelompok; serta Aktiviti Ekonomi Tambahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI