PUTRAJAYA, 15 Julai- Lebih RM132 juta diperuntukkan tahun ini bagi 15 projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), di seluruh negara.
Lima daripada projek tersebut dijangka siap dan bakal beroperasi menjelang Disember.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata lima buah balai yang bakal siap itu bertempat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Siap kita percaya pada hujung tahun ini sekurang-kurangnya lima seperti dijadual, yang tidak mengalami kelewatan dan bukan projek sakit.
"Dua dijangka siap di Sarawak dan Semenanjung serta satu di Sabah. Kita percaya sekiranya tidak ada sebarang masalah mungkin jumlah itu akan lebih banyak," katanya.
(Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid)
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke World Police and Fire Games Rotterdam 2022, di sini hari ini.
Seramai 41 pegawai JBPM menggalas cabaran pada temasya yang bertempat di Belanda mulai 22 hingga 31 Julai.
Sembilan emas menjadi sasaran menerusi enam acara iaitu Golf, Badminton, Bench Press, Push Pull dan Tenpin Boling serta Dart.