KUALA LUMPUR, 18 November - Sehingga 17 November, sebanyak 928,037 pengguna telah memuat turun dan menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), sejak ia dilancarkan Ogos lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata penggunaan sistem itu menyumbang kepada pengawalan berlakunya ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
"Sebelum ini, kita hanya ada sistem eCOSS daripada kilang kepada pemborong dan peruncit, kita terhenti di peringkat peruncit kerana sistem itu berhenti di situ. Oleh kerana itu, banyak yang mengambil kesempatan.
"Dengan adanya eCOSS, kita sudahpun sampai ke peringkat pengguna. Kita dapati ketirisan itu dapat kita bendung kerana setiap pembelian mesti dicatat di dalam eCOSS", katanya.
Beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.
Menurutnya, aplikasi itu mewajibkan pengguna mengimbas Kad Pengenalan ketika melakukan pembelian sekali gus membolehkan minyak masak peket bersubsidi disalurkan kepada golongan sasar.