KUALA LUMPUR, 18 November - Struktur sementara “temporary steel canopy” Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) runtuh dan menimpa sebuah kereta di Jalan MRR2 FT28 arah Batu Caves sekitar pukul 2.00 petang, pada Selasa.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan, struktur yang digunakan untuk kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) #16 itu dilaporkan mengalami kegagalan sebelum insiden berlaku.
Pemandu kenderaan yang terlibat bagaimanapun berada dalam keadaan selamat.
Pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berada di lokasi bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.
Kerja-kerja pembinaan di kawasan terbabit turut dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.
Menurut MRL, RUB #16 telah siap pada Oktober 2025 dan pembukaan struktur sementara dijadual bermula 20 November, selepas menerima kelulusan agensi berkaitan.
Kerja-kerja pembersihan serta pengalihan struktur kini sedang dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa.
MRL menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan serta memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi.
Syarikat itu turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menasihatkan pengguna mematuhi arahan trafik di lokasi kejadian.