KOTA KINABALU, 14 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan kesiapsiagaan penuh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, dengan lebih 9,000 pegawai dan anggota ditempatkan di seluruh negeri itu bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman serta terkawal.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penugasan besar-besaran tersebut melibatkan aspek keselamatan di 73 DUN, dengan kawal selia operasi diperkukuh bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Sebanyak 25 pusat penamaan calon akan beroperasi pada hari penamaan calon.
PDRM menempatkan 4,300 anggota tambahan bagi memastikan keselamatan, kelancaran trafik dan kemudahan kepada semua pihak yang terlibat.
"Kita mengarahkan pegawai-pegawai kita termasuk penugasan oleh pihak CID (Jabatan Siasatan Jenayah) bagi memastikan keselamatan berjalan dengan baik dan sempurna.
"Kita juga pastikan trafik berjalan lancar serta memudahkan semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau ditemui media pada Perjumpaan Khas bersama petugas PDRM sempena PRU DUN Sabah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini.
Seramai 1,200 anggota PDRM dari Sarawak turut bersedia ditempatkan di Sabah bergantung kepada keperluan semasa.
Tambahnya, beberapa siri lawatan ke pantai timur Sabah, termasuk Tawau dan beberapa kawasan DUN lain, turut diadakan sebagai persiapan menjelang hari pengundian.
PDRM turut memberi tumpuan kepada keselamatan sebelum, semasa dan selepas hari pengundian, dengan 15 kawasan tumpuan dikenal pasti termasuk bangunan pentadbiran serta Istana Yang di-Pertua Negeri Sabah.