fb fb fb fb fb

Cadangan PIFC belum mendapat sokongan MOF

FOTO BERNAMA

GEORGE TOWN, 14 November - Cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) masih belum mendapat sokongan Kementerian Kewangan (MOF).

Ini berikutan kementerian itu masih belum mempunyai sebarang dasar khusus berhubung penubuhannya di Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata permohonan itu penting berikutan ia melibatkan pelaburan asing dan syarikat antarabangsa yang tertakluk kepada dasar kewangan negara.

"Permohonan tersebut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan negeri. Bagaimanapun, MOF telah memaklumkan bahawa pada masa ini tiada perancangan dasar untuk menubuhkan pusat kewangan antarabangsa di Malaysia.

"MOF juga menjelaskan bahawa cadangan untuk menubuhkan kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan Pulau Pinang, MOF, Bank Negara dan agensi berkaitan tidak disokong memandangkan kementerian berkenaan belum mempunyai sebarang dasar khusus berhubung penubuhan pusat kewangan antarabangsa di Malaysia," katanya.

Katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berhubung rancangan terperinci penubuhan PIFC di negeri tersebut.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang ke-15 bermula hari ini, melibatkan pembentangan 73 soalan lisan, 766 soalan bertulis, dua Rang Undang-Undang dan tiga usul.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM