fb fb fb fb fb

Lebih 800 juta e-Invois dikeluarkan - LHDN

Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin

CYBERJAYA, 22 Disember - Pelaksanaan sistem e-invois di Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila lebih 820.5 juta e-invois telah dikeluarkan setakat hari ini, melibatkan penyertaan lebih 111,600 pembayar cukai di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, penyertaan itu merangkumi pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-Invois secara mandatori, malah turut melibatkan pembayar cukai fasa keempat yang menyertai secara sukarela.

Pelaksanaan transaksi digital itu selari dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta pematuhan cukai.

"Bermula 1 Januari nanti, kita memberikan tempoh kelonggaran selama enam bulan, mereka dibenarkan mengemukakan satu invois bersepadu (consolidated invoice) pada setiap hujung bulan. Dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil.

"Peluang ini juga memberi masa tambahan kepada pembayar cukai dalam kumpulan ini untuk mula menghantar sekurang-kurangnya satu invois setiap bulan. Justeru, kita berharap mereka mempunyai ruang dan peluang yang mencukupi untuk bersedia dan bersama-sama menyertai pelaksanaan program e-Invois ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus LHDN Bersama Persatuan Perdagangan di sini.

Pelaksanaan e-Invois bukan semata-mata untuk meningkatkan hasil kutipan cukai sebaliknya untuk mewujudkan rekod transaksi lengkap dan telus supaya menjadi asas kepada pematuhan cukai lebih baik dan efisien dalam jangka panjang.

Peranan strategik industri sebagai rakan kongsi LHDN melibatkan libat urus berterusan dengan Persatuan Perdagangan dalam membantu mengenal pasti cabaran, menyampaikan maklum balas, serta mencari penyelesaian praktikal sekali gus memperkukuh ekosistem percukaian digital Malaysia.

Bagaimanapun keberkesanan pelaksanaan e-Invois bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk pembayar cukai, persatuan industri dan penyedia sistem bagi memastikan dasar itu dapat difahami dan diterima semua pihak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI