fb fb fb fb fb

Kalendar lukisan OKU bukan sekadar bakat, tingkat kesedaran inklusif

Lim Siew Khim

GEORGE TOWN, 22 Disember - Kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi peluang kepada pelatih orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) untuk mengetengahkan bakat sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan inklusif sosial.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar platform pameran bakat, malah membawa mesej jelas bahawa golongan itu wajar dihormati serta diberi peluang sama rata tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

"Melalui projek ini, kita bukan sahaja mengetengahkan bakat pelatih OKU, malah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada masyarakat. Matlamat utama adalah memastikan golongan OKU dihormati dan tidak dipinggirkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pelancaran Kalendar Kita Bersama Petron Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang di sini.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, turut dihadiri Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim.

Sebanyak 114 hasil lukisan daripada pelatih OKU diterima menerusi projek penghasilan Kalendar Kita Bersama, hasil kerjasama JKM Pulau Pinang dan Petron.

Daripada jumlah tersebut, 19 lukisan terpilih dicetak dalam kalendar edisi khas dengan 22,000 unit dihasilkan untuk dijual di semua stesen Petron di negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI